Monday, April 27, 2009

Di Manakah Ibubapa Mereka???

Persoalan ini selalu sangat bermain di fikiranku, setiap kali aku melihat gelagat dan perangai anak-anak muda kita sekarang ini. Namun, aku tak pernah sempat untuk menulis dan mewar-warkan kata-kata itu kepada umum, agar ada insan yang akan terfikir sama sepertimana kebimbangan aku terhadap masa depan generasi anak Malaysia.

Setiap hari kita dihidangkan oleh media massa, tentang peristiwa rogol, liwat, bunuh, sumbang mahram, mat rempit dan seumpamanya. Biasanya amat menjijikkan, dan menyedihkan.

Namun, perkara begitu terus berlaku, dan berlaku dengan lebih kerap dan dalam kuantiti yang sentiasa bertambah. Bila kejadian rogol dan bunuh, atau kehilangan anak kecil, barulah rata-rata pemimpin bercakap, dan berjanji macam-macam, termasuklah IGP dan Menteri Dalam Negeri. Tapi seperti biasa ianya hanyalah hangat-hangat tahi ayam, atau dalam bahasa Tuan Guru Abdul Hadi Awang, ianya macam air gas CocaCola. Sekejap sangat gelodak kemarahan dan semangatnya, hanya beberapa saat sahaja. Lepas itu, reda dan padamlah api kemarahan itu, seolah-olah tidak ada apa yang terjadi.

Perbahasan terus wujud di kedai-kedai kopi, di surau-surau, siapakah yang patut dipersalahkan. Jari dituding ke merata arah, kepada pak menteri, wakil-wakil rakyat, polis, masyarakat dan ada yang menyalahi media massa sepenuhnya.

Ya, mungkin mereka di atas ada sahamnya masing-masing dalam percernaan dan pewarnaan corak akhlak anak-anak muda kita. Pastinya ada, sekalipun hanya tempias semata-mata.

Namun, jari telunjukku lebih pantas menunjuk ke arah para IBUBAPA.

Ya, sebagai bapa kepada 11 orang anak, aku amat pasti bahawa IBUBAPA anak-anak itulah yang bertanggungjawab mewarnai akhlak anak-anak itu. Bertepatan sekali dengan maksud hadis Rasulullah s.a.w. bahawa anak-anak dilahirkan dalam keadaan suci, macam kain putih. Ibubapalah yang mencorak, mewarnai akhlak anak-anak tersebut.

Di tempat aku, iaitu di Saujana Utama Sg. Buloh, yang diberi gelaran Bandar Damai dan Indah, ianya serupa. Anak-anak muda, kebanyakannya masih bersekolah, sentiasa melepak di sana-sini, bergaul lelaki perempuan, bergurau senda tanpa segan dan malu, bermotoran, berkeliaran, tak hiraukan waktu maghrib atau malam. Itu sesuatu yang sangat lumrah. Aku sentiasa kehairanan, sentiasa bertanya; Di Manakah Ibubapa Mereka? atau Mereka-mereka ini dilahirkan, dibesarkan TANPA ibubapa???

Antara anak-anak muda itu aku kenal sangat. Anak kawan-kawan atau kenalanku di SU. Ada anak orang kuat PAS, ada anak Ustaz, ada anak orang kuat UMNO. Mereka adalah anak-anak kawan-kawanku..!!!
Apakah pendokong perjuangan Islam sudah lupa tanggungjawab terhadap anak-anak?
Atau mereka sudah tiada masa untuk anak-anak? Atau mereka mempunyai cara yang liberal terhadap pertumbuhan anak-anak mereka?
Aku masih tak faham.
Aku masih gagal mencari jawapannya...
Yang pasti, Allah tidak akan bertanya samaada anak-anak itu anak orang PAS atau UMNO atau PKR. Semua anak-anak itu adalah anak-anak kita!!!
Masa depan generasi anak Malaysia adalah bergantung kepada anak-anak itu!
Janganlah hendaknya para ibubapa terlalu sibuk bekerja, atau berpolitik, atau berceramah kesana kemari hingga tiada masa untuk mentarbiyyahkan atau mencorakkan akhlak anak masing-masing?
Tiada gunanya kita para ibu dan bapa pandai, ada ijazah, ada wang, ada kuasa...tapi anak-anak kelak akan hidup merempat, meminta sedekah kepada anak-anak Cina atau India yang jauh lebih berdisiplin dan rajin.
Tiada gunanya!
Wahai ibubapa muslim mukmin sekelian!
Bukalah mata, bukalah hati kita masing-masing!
Lihatlah, dimana anak-anak kita?
Siapa kawan-kawan mereka?
Apa yang mereka lakukan, terutama dibelakang kita?
Adakah mereka tahu membaca Al-Quran dengan betul?
Adakah mereka tahu bersolat dengan betul?
Adakah mereka menjaga solat mereka?
Atau
Ibubapa sendiri yang tak tahu mengaji dan tak menjaga solat?
Malulah pada anak-anak, malulah pada Yang Maha Pencipta!
Namun,
Masanya belum begitu terlambat!
Ayuh!
Sama-samalah kita insaf, bertaubat, dan menukar cara hidup kita,
semoga
Anak-anak akan mengikut jejak langkah kita menuju Cahaya Keinsafan,
dan Cahaya Kebenaran.
Syurga bukan mudah diperolehi, dan bukan juga susah untuk mendekatinya.
Teruskan mujahadah, teruskan berdoa kepada Yang Maha Kuasa,
pastinya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Pengasih dan Maha Penyayang!

No comments:

Post a Comment